Thursday, April 19, 2007

Tun Mahathir comments on the freedom of media.


Opss, salah. Banglo mewah di Perth bukan milik PM,bukan milik kamaludin seperti didakwa khairy tapi milik .....
Mstar


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memohon maaf atas kenyataannya bulan lepas yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memiliki sebuah banglo mewah berharga RM60 juta di Australia.
liau berkata, isu yang ditimbulkannya ketika berucap dalam satu majlis di Kulai, Johor pada 29 Mac itu sebenarnya berpunca daripada "khabar angin" yang didengar olehnya.
"Ia adalah khabar angin yang saya dengar, berulang-ulang kali bahawa rumah itu kepunyaannya (Abdullah)," katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepemimpinan Perdana di sini hari ini.
"Kemudian saya diberitahu, 'Anda cakap tidak beralas, jadi berhati-hati dengan apa yang anda katakan.' Jadi saya cakap saya minta maaf. Apa yang saya cakap itu salah dan sekarang saya mahu membetulkan kesalahan.
"Rumah itu bukan milik anaknya (Abdullah)," kata bekas perdana menteri apabila disoal oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa telah menyiasat identiti sebenar pemilik banglo mewah tersebut.
"Tapi saya gembira kerana orang mengambil perhatian kepada apa yang saya cakap," kata Dr Mahathir lagi, yang kelihatan gembira dengan publisiti isu tersebut.
Raja Petra, melalui blognya Malaysia Today (www.malaysia-today.net) baru-baru ini memaklumkan, rumah di Perth tersebut milik isteri seorang jutawan Malaysia.
Awal bulan ini, timbalan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bagaimanapun dilaporkan berkata rumah tersebut bukanlah milik Abdullah, tetapi milik Kamaludin, anak lelaki Abdullah.
Di sidang media yang sama, Dr Mahathir turut menggesa kerajaan menggalakkan media menjalankan tugas mereka dengan bebas sebagai "kuasa keempat" yang boleh mengawal kuasa cabang-cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Katanya, kuasa yang berlebihan di tangan tiga cabang kekuasaan itu boleh menjejaskan demokrasi dan menghakis keupayaan media sebagai penyalur maklumat kepada rakyat.
Mahathir mengakui pandangannya "berat sebelah" kerana kritikannya terhadap kerajaan tidak lagi disiarkan oleh media utama sejak pertengahan tahun lalu.
"Saya mesti kata bahawa saya ini berat sebelah, kerana apa yang saya fikir, apa yang saya katakan yang dianggap mengkritik kerajaan tidak boleh diterbitkan. Jika ada sesiapa yang menulis apa-apa yang menyokong kritikan saya, pengarang-pengarang akhbar pula dilarang menerbitkannya," katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa kerajaan wajar mengawal media dengan cara mengeluarkan permit penerbitan kerana pendekatan itu, menurutnya, bertujuan memastikan pengamal media tidak menyalahgunakan media untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.
Namun, tambahnya, perkembangan hari ini telah mula menunjukkan trend yang tidak sihat, apabila akhbar boleh diarah "memadamkan berita-berita tertentu."
"Saya rasa kita boleh mengawal media, tetapi jika anda melarang akhbar daripada menyiarkan pandangan orang lain, itu saya rasa salah. Mereka (kerajaan) perlu bersikap terbuka terhadap kritikan. Semasa saya jadi Perdana Menteri, saya tidak fikir pernah mengarah media agar tidak menyiarkan apa-apa yang bertentangan dengan saya," katanya.
Cadangan untuk mendaftarkan blog juga boleh diterima jika perlu dan tidak mengandungi sebarang ugutan, tambah Dr Mahathir.
"Ia seperti melesenkan media. Sekiranya perlu, ia boleh memberi kebaikan kepada kebebasan media, jadi langkah itu (daftar) OK. Tetapi jika anda mendaftar (blog) supaya boleh mengugut orang, 'jika anda buat macam ini, saya akan buat sesuatu kepada kamu.'
"Tentulah ia tidak diucapkan secara rasmi, tetapi ramai orang memberitahu saya -- saya tidak tahulah sama ada mereka memberitahu perkara yang benar atau tidak -- tetapi mereka memberitahu saya bahawa mereka (penulis blog) takut," katanya.
"Mereka tidak boleh menyalahgunakan peranan mereka, contohnya jika parlimen meluluskan undang-undang yang menyekat hak kebebasan peribadi, tentulah ia perlu dikawal oleh dua kuasa yang lain supaya ada sistem 'semak dan imbang'.
"Tetapi jika hanya satu cabang sistem itu terlalu berkuasa, ia akan melumpuhkan cabang yang lain dan enggan untuk dikawal. Tentulah perkara itu salah, seperti jika badan kehakiman berkata 'kami tidak boleh dikritik,' atau jika Parlimen membuat keputusan ke atas seseorang yang menjadi sebahagian daripada satu kes, dan mengumumkan bahawa dia bersalah," jelasnya.
Dr Mahathir sebelum itu menyampaikan ucap utama di seminar 'Media dan Pembangunan Nasional' anjuran Yayasan Kepemimpinan Perdana.
Penulis-penulis blog popular Jeff Ooi dan Datuk A. Kadir Jasin, editor laman berita Malaysiakini.com Steven Gan dan Dr Kamalan Jeevaratnam diundang sebagai panel perbincangan di program yang disertai kira-kira 200 orang itu.

No comments: