Monday, April 30, 2007

Pendekatan dakwah sekarang tidak menarik bukan Islam – Dr. M


KUALA LUMPUR 29 April – Tun Dr. Mahthir Mohamad menyifatkan pendekatan dakwah agak keras yang digunakan oleh umat Islam sekarang tidak menarik golongan bukan Islam terhadap ajaran Islam.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri mencadangkan supaya pendekatan dakwah sedia ada dikaji semula.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, terdapat kecenderungan menggunakan pendekatan dakwah agak keras sehingga menakutkan orang bukan Islam kepada ajaran agama suci itu.
Beliau mengambil contoh bagaimana orang Islam dan golongan pendakwah lebih cenderung menceritakan perihal hukum hudud termasuk hukuman bunuh ke atas mereka yang murtad, berbanding menceritakan terlebih dahulu keindahan ajaran Islam termasuk dalam memelihara keadilan sejagat.
‘‘Kalau kita terlalu keras, tidak boleh menarik orang kepada Islam. Misalnya, mengatakan awak masuk Islam, kalau keluar Islam akan dibunuh. Tidak ada sesiapa pun yang hendak masuk Islam,’’ katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-13, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden MACMA, Datuk Mustapha Ma.
Menurut Dr. Mahathir, ada ketikanya orang Islam dan golongan pendakwah lebih cenderung menceritakan perkara-perkara kecil berbanding soal lebih besar mengenai keunikan dan keindahan Islam.
Beliau mengambil contoh penukaran gaya hidup golongan mualaf selepas memeluk Islam dan penceraian membabitkan wanita mualaf sehingga mendorong mereka kembali kepada agama lama.
‘‘Kalau kita kaji sejarah, raja-raja Melayu memeluk Islam setelah tertarik dengan ajaran sebenar Islam yang telah ditunjukkan secara amalan oleh para pedagang India muslim dan bangsa Arab dahulu,’’ katanya.
Dr. Mahathir turut membangkitkan pendekatan agak keras yang digunakan oleh pegawai agama kepada seorang warga Eropah yang berhasrat memeluk Islam, tetapi hanya berbuat demikian di Singapura.
‘‘Pegawai itu tanya dengan keras, apakah awak sanggup bangun pukul lima pagi hendak solat dan tidak boleh makan babi. Dia sebenarnya tahu perkara itu, tetapi dia tidak terima Islam di pejabat terbabit, tetapi di Singapura,’’ katanya tanpa mendedahkan pejabat berkenaan.
Beliau turut membangkitkan kecenderungan membangkitkan soal syurga dan neraka yang pada pendapatnya akan difahami selepas mualaf itu mempunyai pengetahuan mendalam tentang ajaran Islam sebenar.
‘‘Orang Melayu sendiri mengambil masa lebih 600 tahun untuk menjadi umat Islam yang baik. Mungkin ibu bapanya tidak 100 peratus Islam, yang penting ialah anak dan cucu-cicitnya dibesarkan dalam ajaran Islam sebenar,’’ katanya.

No comments: