Tuesday, March 18, 2008

Sembang Pasca Pilihan Raya (I)

courtesy of mykmu.net
Oleh Ab Jalil Backer (jalil74@myjaring.net)


Selepas nyata Barisan nasional tewas di lima negeri dan kalah banyak kerusi Parlimen, saya menulis memohon Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur sebagai Presiden UMNO atau mengadakan satu Perhimpunan Khas UMNO. Permohonan ini saya sertakan bersama nombor ahli UMNO.
Ramai lagi yang bersetuju turut menyatakan nombor keahlian mereka diruang komen. Kemuncaknya apabila dua ahli Parlimen UMNO sendiri menulis surat secara terbuka. Datuk Mukhriz Mahathir, yang dihalang oleh 3 line/ Pekida dari mengadakan sidang akhbar meminta Pak Lah meletak jawatan, telah menghantar surat memohon Pak Lah meletak jawatan.
Seorang lagi ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) yang menulis surat kepada semua Ketua UMNO Bahagian memohon diadakan satu Perhimpunan Khas UMNO. Ini turut disokong oleh Pemuda UMNO Johor.
Persoalan utama ialah mengapa saya dan ramai lagi pelayar laman ini yang setia bersama UMNO dan kepimpinan UMNO sejak 1998 boleh berubah begitu drastik? Apakah setiap kali kitakalah teruk maka kita akan memaksa pemimpin kita meletak jawatan?
Tentulah tidak. Kita perlu menerima kekalahan dengan hati terbuka dan bergerak memperbaiki parti dan kepimpinan agar diterima kembali oleh rakyat.
Namun kemarahan yang meminta Pak Lah berundur ada rasionalnya. Ini kerana sejak tiga tahun lalu, laman ini konsisten meluahkan perasaan terbuku ahli UMNO, pemimpin UMNO di peringkat bawahan dan pandangan orang ramai mengenai pentadbiran Abdullah.
Dalam siri pertama Pasca Pilihan Raya ini, saya akan memberi pandangan mengenai mengapa pengundi Cina beralih kepada pembangkang.

Ekonomi

Kita sudahpun menyatakan bahawa jika tiada perubahan dalam dasar-dasar pentadbiran Abdullah, tiada imej kepimpinan yang lebih mantap dari Abdullah dan tiada perubahan dalam isu-isu ekonomi baik peringkat makro mahu pun mikro, BN akan mengalami kekalahan besar.
Malangnya, semua ini dianggap enteng dan sampah sahaja oleh para pemikir Abdullah yang bijaksana lulusan luar negara berbanding penulis-penulis laman ini yang sekadar sekolah biasa.
Telah dinyatakan oleh Tun Mahathir dan juga ramai penulis betapa pengembangan ekonomi yang didakwa oleh kerajaan sebenarnya tidak dirasai oleh rakyat bawah.
Telah dinyatakan bahawa ramai peniaga cina tidak berpuas hati denagn dakwaan kerajaan bahawa ekonomi negara sangat baik sedangkan mereka berpendapat keadaan lebih teruk berbanding tahun 2000.
Setiap kali Tun Mahathir menyatakan rakyat terutama orang Cina tidak berpuas hati dengan ekonomi negara, pentadbiran Abdullah memilih untuk memuntahkan segala statistik dan angka mengenai ekonomi negara bagi menutup rungutan-rungutan ini.
MCA dan Gerakan juga sungguhpun merungut di belakang tabir tetapi menunjuk sokongan tidak berbelah bagi kepada Abdullah di hadapan media.
Akhirnya orang Cina berpendapat bahawa tiada guna memberi undi untuk kerajaan yang tidak mengambil kisah masalah mereka, tidak peduli pendapat mereka.
Ahli UMNO boleh menyalahkan pengundi Cina kerana berpaling tadah. Tapi kita juga perlu ingat pada 1999, ketika ekonomi negara berada dalam keadaan teruk, mereka masih memberi sokongan kepada BN.
Mengapa? Kerana kepimpinan ketika itu jujur dan berterus terang mengakui ekonomi negara berada dalam keadaan tidak baik dan berusaha memperbaikinya.
Pada 2004, mereka memberi sokongan kepada BN dan Abdullah kerana ekonomi masih baik dan melihata tiada perubahan besar dalam polisi ekonomi negara. Malangnya antara 2004 sehingga 2008 berlaku pelbagai keputusan kerajaan yang melemahkan ekonomi dan perniagaan di peringkat bawah.
Orang Cina terutama kumpulan peniaga bukanlah jenis tidak boleh merasa susah atau dihimpit tekanan ekonomi. Namun mereka ingin melihat kerajaan mengakuinya dan berusaha merubahnya.
Malangnya pentadbiran Abdullah memilih jalan yang mudah menafikan realiti perasaan mereka ini. Justeru orang Cina melihat satu lagi kemenangan cemerlang BN akan menyebabkan dasar-dasar sedia ada terus dilaksanakan dan ini tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada mereka.
Sebab itu kita lihat di kawasan majoriti Cina, kemenangan calaon-calon pembangkang amat luar biasa sehingga mencapai majoriti 30 ribu. Ada juga kawasan yang Pas menang kerana undi kaum Cina begitu banyak berubah.
Bukan mereka suka Pas atau Keadilan, mahu pun DAP, namun mereka melihat pentadbiran Abdullah sungguhpun terbuka membiarkan perdebatan dan pertelingkahan dari rakyat sehingga anggota kabinet, tetapi tidak mengambil sebarang langkah pro aktif memperbaiki keadaan.
Perdebatan, perbahasan dan pertelingkahan tamat setakat muka akhbar. Dengan kata lain pentadbiran Abdullah mengamalkan "pentadbiran pekak badak." - Cakaplah apa pun, aku buat cara aku sahaja.

Khairy Jamaluddin

Pencalonan Khairy Jamaluddin sebagai ahli Parlimen Rembau turut menimbulkan kemarahan kaum Cina. Sungguhpun mereka tidak terbabit dalam politik UMNO, namun usaha Perdana Menteri mencalonkan menantunya dilihat sebagai satu lagi usaha pengukuhan dasar-dasar yang merugikan mereka.
Selain itu, mereka turut berpendapat BN hanya akan dikuasai oleh Khairy dan Abdullah jika tiada protes yang langsung dalam pilihan raya ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Pertelingkahan pentadbiran Abdullah dengan Tun Mahathir Mohamad turut memberi kesan kepada para pengundi Cina. Ramai kaum Cina bersetuju dengan pandangan Dr. Mahathir terhadap kerajaan Barisan Nasional masa kini.
Apatah lagi tindakan akhbar-akhbar yang rapat dengan Abdullah dan beberapa menteri menyerang Tun Mahathir mewujudkan kemarahan dalam senyap oleh majoriti kaum Cina terhadap kerajaan.
Menghina bekas pemimpin bukanlah satu amalan yang diterima kaum Cina. Ini dapat kita lihat bagaimana MCA dan Gerakan berkerjasama erat dengan bekas-bekas pemimpin mereka.

Islam Hadhari

Di kalangan masyarakat Cina melihat promosi keterlaluan Islam Hadhari sebagai satu ancaman terhadap kehidupan mereka. Kita perlu akui bahawa promosi yang dilakukan terhadap Islam Hadhari begitu gah dan melampaui polisi penerapan nilai-nilai Islam sebelum ini.
Orang cina melihat ada usaha untuk menjadikan pentadbiran kerajaan sebagai satu pentadbiran Islam sepenuhnya sehingga mengenepikan perasaan mereka. Tindalan mewujudkan jawatankuasa Islam Hadhari di peringkat Parlimen dan DUN juga telah menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan pengundi Cina.
Mereka melihat bahawa usaha perpaduan dan hubungan kaum sudah kian longgar kerana ia cuba dibuat berasaskan Islam Hadhari.

Isu-isu lain

Kenaikan tol turut menimbulkan kemarahan kaum Cina. Di bandar seperti Kuala Lumpur dan Selangor, kenaikan antara 30 - 70 sen di Lebuh raya Puchong-Damansara dan Kesas telah memberi impak yang banyak dalam perbelanjaan isi rumah.
Malangnya kerajaan lebih mementing beberapa ratus juta yang perlu dibayar kepada syarikat kosensi berbanding priuk nasi rakyat.
Isu lain yang tidak kurang penting ialah kegagalan kerajaan mereformasikan kerja-kerja di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sungguhpun terdapat usaha untuk mengubah kecekapan PBT termasuk menubuhkan Pusat latihan PBT oleh kerajaan negeri Selangor dan kewujudan Sistem Aduan Dalam Talian (Star) di Selangor; namun ia tidak diberi publisiti dan promosi yang mencukupi.
Sebaliknya akhbar-akhbar banyak menyerang PBT sehingga memberi imej yang buruk bukan sahaja kepada PBT itu sendiri tetapi juga kerajaan.

Kesimpulan

Terdapat banyak sebab mengapa kaum cina berpaling arah. Namun sebab utama yang jelas ialah isu ekonomi yang tidak ditangani oleh kerajaan dengan baik.
Kemarahan kaum Cina terhadap Abdullah dapat dilihat sepanjang kempen pilihan raya lalu. Jumlah gambar Abdullah yang dipasang di kawasan-kawasan kaum cina amat sedikit. Malahan di sesetengah tempat tiada langsung gambar Abdullah dipasang bagi mengelakkan lebih tinggi undi protes.
Justeru, terserahlah kepada UMNO sama ada bersedia karam bersama Abdullah dan Khairy atau menyelamatkan parti UMNO dan Barisan Nasional.

No comments: