Friday, March 7, 2008

Rakyat Jerlun Perlu Memberi Peluang Kepada Mukhriz


Mukhriz mahu sehebat bapa
MUKADIMAH
PENCALONAN Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum Ke-12 telah menarik perhatian umum.
Kemunculan beliau itu dilihat sebagai penerus perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen Kubang Pasu.
Walaupun dikatakan sekadar menumpang populariti bapanya, namun kehadiran Mukhriz di Jerlun yang sinonim sebagai kubu Pas lebih bergantung kepada keupayaan sendiri dalam mendapatkan sokongan.
Utusan Malaysia menemui anak lelaki ketiga bekas Perdana Menteri bagi mendapatkan pandangannya mengenai perkara-perkara tersebut.

Ada yang mengatakan Datuk lebih sedia menjadi calon BN di Langkawi?

MUKHRIZ: Tidak. Saya sudah menyatakan sebelum penamaan calon lagi bahawa jika diberi peluang, saya bersedia untuk bertanding dan berkhidmat di mana-mana kawasan sahaja yang dirasakan sesuai.
Saya tiada masalah langsung ketika diumumkan bertanding di Parlimen Jerlun. Ini lebih-lebih lagi apabila sejak dari awal bekas ahli Parlimen Jerlun yang juga Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd. Rahman Ariffin mengatakan berbesar hati dengan kehadiran saya di kawasan ini. Jadi itu memudahkan kerja saya di sini.


Mungkin ada yang beranggapan Datuk dicalonkan di Parlimen Jerlun bagi menumpang populariti Tun Dr. Mahathir?

MUKHRIZ: Saya ingat sedikit sebanyak tidak dapat dielakkan daripada itu. Ini kerana sebahagian Jerlun dulu pun berada di bawah Kubang Pasu sewaktu beliau (Dr. Mahathir) menjadi ahli Parlimen. Jadi mahu tidak mahu lebih-lebih lagi di kalangan orang tua-tua, itu yang mereka nak dengar yang ada kesinambungan daripada zaman beliau dulu. Bukan saya menidakkan sejarah. Itu memang sudah berlaku dalam sejarah kita, jadi itulah yang kita hendak teruskan.

Sejauh mana penglibatan Tun Dr. Mahathir mempengaruhi sokongan pengundi terhadap Datuk?

MUKHRIZ: Saya ingat dengan kehadiran beliau sahaja, seperti dalam dua majlis di kawasan ini sebelum ini telah memberi kesan yang besar kepada gerak kerja BN di Jerlun.
Cuma saya harap kehadiran beliau juga dapat meyakinkan lagi bahawa apa yang kita mahu buat di Jerlun ini seperti mana yang beliau telah buat di Kubang Pasu.


Apakah gaya kepimpinan yang akan ditonjolkan Datuk?


MUKHRIZ: Saya akan cuba mencontohi khidmat cemerlang yang ditunjukkan oleh bapa saya sebelum ini. Saya juga akan cuba untuk memberi nafas dan idea-idea baru yang boleh saya laksanakan di sini.

Tawaran Datuk kepada penduduk di Parlimen Jerlun jika menang?

MUKHRIZ: Terlebih dahulu saya mahu mereka yakin atas niat ikhlas saya untuk berkhidmat semata-mata untuk rakyat. Jika diberi mandat, segala amanah dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat saya pegang dengan seikhlas-ikhlasnya dan bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik.
Saya berjanji akan meneruskan projek-projek pembangunan di sini. Saya akan memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur, industri kecil desa dan pelancongan sebagai usaha meningkatkan sosioekonomi penduduk.
Saya juga akan berusaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi anak-anak muda, mungkin dengan menarik lebih banyak pelabur luar untuk melabur di sini, buka kilang dan sebagainya sekali gus mengurangkan atau menghapuskan terus tahap pengangguran di sini.


VOTE FOR MUKHRIZ

photo courtesy of http://minaq-jinggo.fotopages.com/














No comments: