Saturday, March 1, 2008

Mukhriz Mahathir janji berkhidmat sebaik ayah


JITRA 29 Feb. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir bersedia memberikan khidmat yang terbaik seperti khidmat ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menurutnya, beliau akan mengambil contoh kepimpinan bapanya yang sentiasa mengutamakan rakyat dan mempunyai wawasan yang jauh demi memajukan negara.
“Sebaik mana khidmat yang ayah berikan ketika menjadi wakil rakyat di Kubang Pasu, sebaik itu juga khidmat yang akan saya berikan kepada penduduk Jerlun,” ujarnya ketika melawat peti undi di Kampung Kandis, Kodiang di sini hari ini.
Turut hadir memberi sokongan kepada Mukhriz ialah bapanya, Dr. Mahathir; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif; calon BN bagi DUN Ayer Hitam, Datuk Othman Aziz; Ketua Wanita UMNO Jerlun, Datuk Maznah Hamid serta bekas ahli Parlimen Jerlun, Datuk Abd. Rahman Ariffin.
Penduduk kampung seramai 500 orang sanggup meredah hujan menunggu kehadiran Mukhriz dan Dr. Mahathir ke kampung mereka yang membuktikan kehadiran Mukhriz sebagai calon baru BN sentiasa dinantikan.
Mukhriz berkata, beliau mahu penduduk Jerlun memberi sokongan kepadanya seperti mana mereka menyokong bapanya ketika beliau masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri kerana hanya BN sahaja mampu meneruskan kemajuan bagi rakyat.
“Kemajuan yang kita capai dahulu patut dikekalkan dan BN sahaja yang mampu meneruskan apa yang telah kita capai sekarang.
“Jangan kerana kita tersilap membuat pilihan, anak cucu kita yang akan merana di masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Tun Dr. Mahathir menyifatkan Mukhriz merupakan seorang anak yang rajin, malah lebih rajin daripada beliau sendiri.
‘‘Saya bukan mahu memuji anak sendiri namun itulah hakikat peribadi Mukhriz yang sebenar. (Berbanding) saya malas, nak tidur sahaja,” kata beliau sambil berseloroh.
Dr. Mahathir berkata, jika Mukhriz menang dalam pilihan raya ini, beliau hendaklah mengambil berat mengenai masalah rakyat di dalam kawasannya serta menggunakan kepercayaan yang telah diberi rakyat untuk membantu mereka.

VOTE FOR MUKHRIZ

1 comment:

feeza said...

Kemana tumpahnya kalau tidak ke nasi?
Bapa borek anak rintik.
Mukhriz akan mewarisi kehebatan Tun.