Tuesday, February 27, 2007

Serangan Ke Atas Iran Bakal Ulangi Peristiwa Bencana Nuklear Chernobyl - Mukhriz


Kuala Lumpur -- Pemuda UMNO hari ini membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk kekerasan atau tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel terhadap Iran kononnya bagi menghentikan program pengayaan uranium negara terbabit
Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa & Pertubuhan Bukan Kerajaan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian kepada konflik tersebut sebaliknya akan mengorbankan lebih banyak jiwa yang tidak berdosa.
Menurut beliau sebarang tindakan ketenteraan terhadap mana-mana kemudahan Nuklear Iran akan mengakibatkan pencemaran radioaktif secara global yang akan mengundang bencana kepada masyarakat sekeliling.
"Apabila ini berlaku habuk dan partikel halus uranium dibawa arus angin mengelilingi dunia. Masyarakat dunia akan menyaksikan bencana nuklear yang lebih dahsyat daripada yang berlaku di Chernobyl.
"Malah tubuh dan gen manusia juga akan turut terjejas apabila habuk dan partikel halus uranium menyusup ke dalam badan melalui hujan dan bekalan air", katanya dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan ketenteraan yang mungkin akan diambil oleh Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk Israel terhadap Iran bagi menghentikan program nuklear Iran.
Tambah Mukhriz lagi jika berlakunya serangan tersebut ianya akan mengimbau kembali serangan udara dan pengeboman tentera Israel terhadap kemudahan nuklear Iraq pada tahun 1981 yang dikenali sebagai “Osirak Option”.
"Dalam serangan tersebut pesawat pejuang Israel telah menggunakan ruang udara negara-negara jiran Iraq bagi melancarkan serangan tersebut dan ini tidak seharusnya dibenarkan berulang", ujarnya.
Kata beliau lagi semua pihak perlu membantah keras tindakan ketenteran yang mungkin digunakan oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dalam krisis nuklear tersebut.
"Berdasarkan akhbar The Sunday Times, terdapat lebih kurang lima orang Jeneral dan Laksamana Tentera Amerika Syarikat yang lebih rela meletakkan jawatan daripada mempersetujui apa yang mereka anggap sebagai suatu serangan yang tidak bertanggungjawab, sekiranya Amerika menyerang Iran.
"Ini sepatutnya menyedarkan kuasa besar tersebut dalam usaha memelihara keamanan dunia sejagat", katanya.

No comments: