Saturday, April 28, 2007
Anwar The Devil In Disguise
Anwar bersandiwara lagi
Oleh: ZAINI HASSAN
‘‘Saya sanggup masuk penjara demi mempertahankan tuan-tuan sekalian...’’ jerit Anwar Ibrahim semasa berceramah di depan masyarakat Cina di Pekan Batu 7 Ijok, malam semalam.
Ada yang bertepuk spontan - tersentak dengan suara nyaring Anwar. Dan ada yang terpinga-pinga untuk memastikan benarkah apa yang dikatakan Anwar itu. Benarkah Anwar dipenjarakan kerana membela rakyat? Ada yang tergelak kecil. Semua tahu, Anwar dipenjarakan atas sebab-sebab peribadinya sendiri.
Yang datang melihat ceramah itu pastinya terhibur dengan lawak satira politik Anwar. Walaupun tenaga Anwar, nampaknya tidak seperti dulu, sedikit tercungap, beliau cuba meneran untuk meyakinkan hujah-hujahnya.
Butir kata Anwar, seperti lazimnya, banyak merujuk kepada kegemilangannya sebagai Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri dan semasa hendak ‘mengangkat lagi’ dirinya turut merujuknya sebagai bekas Pemangku Perdana Menteri. Terbaru, beliau bermegah dilantik sebagai profesor pelawat di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Gaya Anwar di Ijok, nampaknya lain daripada yang lain. Beliau begitu bergelut. Anwar bergelut untuk membuat satu percubaan. Ia adalah soal hidup dan mati.
Percubaan ini sungguh penting bagi dirinya. Ijok, seakan-akan sebuah bilik makmal untuk menguji sejauh mana pengaruh Anwar di mata rakyat - terutamanya di kalangan pengundi Melayu pinggir bandar.
Anwar mahu menggunakan Ijok untuk menguji apakah beliau boleh pergi jauh dalam pilihan raya umum sebelum 2009 ini.
Yang pasti, para pemerhati politik melihat Anwar begitu bersungguh-sungguh mahu kembali dalam politik arus perdana. Dia cuba ‘menyucikan’ dirinya dengan membuat pelbagai tohmahan buruk ke atas orang lain. Kita faham dalam politik itulah permainannya.
Siapa yang tahu, tahulah - siapa Anwar dan orang-orangnya semasa zaman kegemilangannya dulu. Tapi seperti kata Najib Tun Razak - mungkin tidak sesuai menelanjangkan semuanya mengenai Anwar yang akan mengaibkan ahli keluarganya sendiri.
Namun, isu yang dibawa Anwar terlalu cetek. Pengalamannya semasa dalam UMNO dan kerajaan dulu - sudah basi, malah pucuk pimpinan negara pun sudah berubah. Apa yang hendak dikata lagi jika beliau sendiri adalah sebahagian anggota Kabinet yang membuat pelbagai keputusan dulu.
Apakah beliau cuba menafikannya? Orang melihat Anwar memalukan dirinya sendiri dengan meludah ke langit, kena batang hidung sendiri.
Beliau tidak boleh hipokrit, kerana jika Tuhan mengizinkan dia terus berada dalam kerajaan dan diangkat sebagai Perdana Menteri, dakwaan-dakwaan itu tidak akan wujud.
Strateginya mengaitkan Najib dengan pelbagai dakwaan membuktikan Anwar cuba meyakinkan pengundi bahawa dirinya adalah ‘suci’. Dialah bersih, dialah penyelamat bangsa dan dialah orang paling murni di muka bumi Malaysia ini.
Tidak sedarkah kita, bahawa manusia itu tidak pernah sempurna. Apakah sempurna seseorang itu jika dia hanya suka bersandiwara - untuk menagih simpati rakyat, hatta masyarakat antarabangsa?
Apakah bersih seseorang itu jika cuba menidakkan bahawa rakannya tidak pernah meminta saham yang sepatutnya digunakan untuk faedah rakyat jelata?
Murnikah kita, jika rakan-rakan diberi pelbagai habuan kemewahan demi memantapkan pengaruh diri sendiri?
Sucikah jika pihak-pihak tertentu menggunakan diri kita dengan niat tersembunyi untuk merosakkan negara sendiri?
Jika dahulu, beliau begitu berang atas pelbagai dakwaan yang dibuat ke atasnya - sehingga sanggup menghuru-harakan negara, kini beliau mahu orang lain juga kena. Isu Altantuya, dijadikan ‘gula-gula’ bahan kempennya di Ijok. Persoalannya, kes itu sedang dibicarakan dan bukan Najib yang dibicarakan.
‘‘Beliau tidak gentleman apabila membawa isu itu. Apakah dia mahu membalas dendam?’’ tanya seorang penganalisis politik.
Jika balas dendam adalah permainan Anwar, maka ia bukan satu strategi politik yang matang.
Kenyataan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang menafikan pembabitan Najib itu, sekali gus menutup sama sekali isu tersebut.
Turunnya Pak Lah ke Ijok kelmarin - selepas selesai majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong - jelas menunjukkan sokongan padunya kepada Najib.
Semalam Pak Lah mengesahkannya. Kali ini untuk melenyapkan dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan ke atas Najib.
‘‘Saya yakin dengan timbalan saya, Datuk Najib,’’ tegasnya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Yang pasti, pembangkang di Ijok tiada modal.
Isu-isu yang dibangkitkan terlalu artifisial - bukan bersandarkan asas dan bukti. Sebaliknya, di sebelah kerajaan, ia mempunyai banyak bukti ke atas apa yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang seperti Anwar dan Khalid Ibrahim, yang pernah berada di sebelah sana satu ketika dulu.
Anwar janganlah cuba menipu orang Ijok dan terus dengan sandiwaranya.
Tanggungjawab yang berada di tangan pengundi Ijok hari ini amat mencabar.
Tanggungjawab itu bukan kerja main- main. Ia harus dibuat secara waras, bijaksana dan beramanah. Anwar dan konco-konconya jangan menganggap Ijok sebagai a joke - rakyat tiada masa untuk mendengar lawak jenaka mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment