Friday, March 7, 2008
Kedudukan BN pada pilihanraya Sabtu ini
courtesy of www.mykmu.net
Oleh: Datuk Rejal Arbee
Sabtu ini hampir 11juta rakyat yang berdaftar sebagai pengundi akan keluar mengundi untuk memilih parti yang akan menubuhkan kerajaan memerintah negara ini buat lima tahun lagi selain dari memilih 12 kerajaan negeri kecuali untuk Sarawak. Berbagai ramalan telah dibuat tetapi umum sepakat bahawa Barisan Nasional akan diberi lagi mandat baru untuk menubuhkan kerajaan pusat, malah ramai masih percaya ia akan tetap dapat mempertahankan majoriti 2/3nya dalam Parlimen.
Untuk itu ia perlu memenangi sekurang-kurangnya 148 kerusi dari sejumlah 222 kerusi (tambahan sebanyak tiga kerusi baru dari 2004 dahulu). Ramai beranggapan ia tidak akan menghadapi banyak masaalah memperolehi jumlah itu walaupun menghadapi berbagai cabaran yang agak mencemaskan.
Apa pun ia tidak mungkin dapat pertahankan keputusan cemerlangnya pada 2004 dahulu memenangi 199 kerusi dari sejumlah 219.
Ramai analisis berpendapat walau pun ia akan memenangi cucup kerusi tetapi kebanyakan daripada kemenangan itu adalah dengan majoriti yang lebih kecil; ia itu undi popular yang diperolehinya akan merosot daripada apa yang diperolehinya empat tahun lalu yang mencecah 63.8 peratus.
Kemungkinan ada pengundi yang tidak mahu keluar mengundi atau pun yang sengaja merosakkan undi mereka. Kiranya keputusan menunjukkan peratus mengundi berkurangan dan jumlah undi rosak meningkat ini memberi petanda peratusan rakyat yang tidak puas hati dengan kerajaan sekarang tetapi tidak pula mahu menyokong pembangkang.
Apa tidaknya kalau dilihat dari scenario kedudukan politik negara dewasa ini berbanding dengan keadaan semasa pilihanraya 2004 dahulu gara-gara harapan menjulang rakyat terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan imej ‘bersih’ dan ‘mesranya’ setelah mengambil aleh tampuk pemerintahan dari Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan apabila membubarkan Parlimen pada 13hb Feb lalu, 15 bulan sebelum mandatnya berakhir pada Mei 2009, ia berada dalam suatu keadaan yang tidak selesa bahkan amat mencabarkan dikalangan rakyat khususnya yang mendiami kota-kota. Keadaan ini sebenarnya tidak akan banyak berubah sekali pun ia menunggu hingga ke saat-saat akhir mandatnya untuk menghadapi pilihanraya baru. Malah ada penganalisis berpendapat keadaannya mungkin lebih teruk dari sekarang kerana lagi lama ia tunggu untuk mendapatkan mandat baru suasananya akan lebih mencabarkan.
Tetapi ada juga yang mengatakan bahawa kiranya pilihanraya diadakan selepas bulan April bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Awar Ibrahim sudah layak untuk bertanding dan kemungkinan besar beliau akan sengaja mahu bertanding di Kepala Batas menentang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kabarnya Pa’ Lah mahu mengelak kemungkinan ini berlaku, itulah PU diadakan sebelum April.
Apa pun kedudukan Barisan Nasional sekarang tidaklah semantab kedudukannya waktu itu ketika majoriti rakyat menaruh harapan yang begitu tinggi terhadap Pa’ Lah. Ketika itu ramai mengharapkan beliau akan dapat membawa negara dan rakyat ke suatu tahap yang lebih baik khususnya dari segi mengisi kehendak jiwa dan rohani rakyat. Dengan perwatakan sederhananya dengan imej bersih dan baik hati ramai berharap beliau dapat mengisi kehendak mereka itu dan tidak lagi kepada pembangunan fisikal saja yang banyak ditekankan Mahathir.
Tetapi setelah menerajui kerajaan sejak Nov 1, 2003 persepsi rakyat terhadapnya telah banyak berubah. Banyak yang dikatakan tidak kena dengan tampuk pimpinan sekarang. Kedudukan rasuah semakin menjadi walaupun Pa’ Lah telah menjanji untuk membanterasnya bertepatan imejnya sebagai “Mr Clean”. Kejadian rasuah yang semakin buruk ini bukan saja dari persepsi orang ramai tetapi adalah bukti dari indeks rasuah yang dikeluarkan Badan Ketelusan Antarabangsa (Transparency International) yang menunjukkan kedudukan negara jatuh dari tangga 37 pada tahun 2003 kepada 44 pada 2006 dengan kiraan mata jatuh kepada 5.0 daripada 10.
Demikian pula kedudukan keselamatan dalam negara juga mencemaskan rakyat kerana kejadian berbagai kes jenayah semakin menjadi. Kejadian jenayah telah meningkat dari 156,315 pada tahun 2003 kepada 226,836 pada tahun 2006 peningkatan lebih 45 peratus. Malah kejadian jenayah berat seperti membunuh, merogol, mencolek telah meningkat dengan mendadak hingga 86 peratus dari 22,790 pada 2003 kepada 42,343 dalam tahun 2006.
Hubungan kaum juga dikatakan semakin meruncingkan dengan bukan Melayu terus saja persoalkan keistemewaan dan bantuan yang diberikan kepada Melayu manakala Melayu pula persoalkan kenapa kedudukan hak istemewa mereka yang telah pun termaktub dalam Perlembagaan terus saja diungkit. Tetapi dalam pada itu tuduhan dilemparkan bahawa bukan semua Melayu menikmati faedah darinya, hanya segelintir saja dan tertumpu kepada yang mempunyai hubungan dengan mereka ditampuk kekuasaan.
Walaupun berbagai pengumuman kerajaan menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ramai ahli perniagaan mengeluh dengan keadaan sebenar yang mereka hadapi tidak seperti yang dilaung-laungkan. Yang mereka tahu perniagaan mereka lembab manakala kerja-kerja kontrek pula semakin berkurangan hingga sukar bagi mereka bergerak untuk menjana pendapatan munasabah.
Ramai rakyat juga terus saja personal berbagai keputusan kerajaan seperti pengumuman mengujudkan berbagai koridor pembangunan bermula dengan Kawasan Pembangunan Iskandar di Johor, Koridor Utara, Koridor Pantai Timur, Koridor Sabah dan Koridor Sarawak. Kesemua ini akan menelan belanja melebihi RM1,000 bilion.
Padahal waktu Pa’ Lah mula memegang tampuk kerajaan banyak projek besar yang dimulakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seperti landasan kedua keretapi, projek haidroeletrik Bakun ditunda kerana kerajaan dikatakan kekurangan wang. Malah pada mulanya projek terowong lalulintas yang juga bertujuan mengalihkan aliran air untuk mengatasi berlakunya banjir di Kuala Lumpur bila hujan lebat, Terowong SMART, juga hendak ditunda.
Tetapi kini aleh-aleh dengan tidak semenan-mena kerajaan telah dapat pula menyediakan peruntukan begitu besar untuk projek berbagai koridor itu. Inilah yang menjadi tanda tanya orang ramai. Mana datangnya wang yang begitu besar yang hendak dibelanjakan bagi melaksanakan berbagai koridor itu?
Kini keluar pula cerita bahawa Kerajaan sudah pun mengambil keputusan untuk melaksanakan projek keretapi pantas dari KL ke Singapura yang amat-amat dikehendaki bekas mantan PMnya Lee Kuan Yew walaupun ramai rakyat di sini tidak bersetuju dengan projek itu. Dikatakan hanya pengumumannya saja yang belum dibuat mungkin selepas pilihanraya nanti.
Dikatakann projek pembangunan berbagai koridor ini tidak pun ujud dalam Rancagan Malaysia Kesembilan sekarang. Ada juga kritikan bahawa pembangunan berbagai koridor itu diputuskan tanpa melalui proses penyediaan terperinci yang melibatkan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri. Walhal sebelum ini semua projek pembangunan lebih-lebih lagi yang besar perlu melalui pelbagai kajian terperinci sebelum sesuatu cadangan itu diterima untuk dilaksanakan.
Pengundi golongan menengah yang amat mengetahui dan prihatin terhadap berbagai perkembangan dalam negara yang menyangkut dengan tindak tanduk kerjaan BN persoalkan kepimpinan Pa’ Lah. Mereka menuduh beliau tidak mengkotakan janji-janjinya dalam pilihanraya 2004 dahulu.
Mereka ini dikatakan kecewa dengan apa yang sedang berlaku dengan Pa’ Lah yang kelihatan terlalu dipengaruhi menantu dan penolong-penolong pribadinya di tingkat empat. Jadi ada diantara pengundi yang waktu itu dengan mudah menyokong BN kerana perwatakan Pa’ Lah tetapi kini nyata ianya indah khabar dari rupa. Mereka tuduh Pa’ Lah hanya tahu bercakap saja tetapi tidak tahu laksanakan apa yang dijanjikan.
Jadi inilah scenario kedudukan negara ketika pembubaran diumumkan diikuti penetapan 8hb Mac sebagai hari mengundi. Keadaan yang agak mencemaskan BN ini disulitkan lagi dengan pandangan sehingga 70 peratus daripada pengundi di Lembah Kelang memilih calun daripada memilih parti. Ini adalah hasil dari satu kajiselidik yang diusahakan BN Selangor yang jika diunjurkan memberi gambaran pengundi di bandar tidak lagi pentingkan parti tetapi memangkah mengikut calun yang mereka anggap boleh menjadi wakil mereka yang berwibawa di Parlimen. Masanya dimana kiranya BN meletakkan kayu sebagai calun pun BN akan dipilih sudah berlalu.
Sungguhpun menghadapi scenario amat mencabar ini, apakah Barisan Nasional akan menghadapi kemungkinan tidak lagi mendapat mandat rakyat untuk terus memerintah? Walaupun terdapat sebilangan pengundi khusunya di kawasan bandar yang kecewa dengan kerajaan sekarang tetapi mereka juga prihatin terhadap kedudukan politik sebenar yang ujud dalam negara dewasa ini.
Dilihat dari kedudukan parti-parti politik yang menentang BN ia itu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat ramai tidak yakin parti-parti itu secara sendirian mahupun melalui gabungan boleh memerintah negara dengan mantab. Maka itu ramai yakin BN akan terus mendapat mandat untuk memegang tampuk kerajaan bagi lima tahun lagi. Apa yang nyata kemenangan calon-calon BN nanti adalah dengan majoriti yang merosot berbanding dengan keputusan pada 2004 dahulu.
Walaupun mereka tidak begitu puas hati terhadap BN, mereka juga prihatin dengan kedudukan sebenar parti-parti pembangkang yang tidak mungkin boleh bekerjasama menubuhkan kerajaan yang stabil. Apa yang ketara dikalangan ketiga parti pembangkang itu sebahgian besar rakyat masih tidak dapat diyakini mereka boleh bergabung dalam satu barisan kerajaan campuran yang mantab.
Inilah hakikatnya kedudukan parti pembangkang sejak sekian lama. Waktu parti pemerintah menghadapi keadaan yang amat genting sekali dalam tahun 1999 berikutan dengan penyingkiran Anwar dan penubuhan Parti Keadilan pun tidak ujud saingan mantab terhadap BN. Ketika itu pun Keadilan yang berusaha untuk adakan pakatan degan PAS dan DAP, juga menghadapi jalan kekusutan yang tidak dapat dileraikan kerana masing-masing dari ketiga parti itu mempunyai perjuangan tersendiri. Maka tidak menghairankan Keadilan hanya memenangi lima kerusi saja dengan Pas (27) dan DAP (10) dalam pilihanraya ke10 itu.
Dalam pilihanraya ke12 ini pun pada umumnya apa yang ujud hanyalah kerjasama antara Pas dan PKR serta kerjasama PKR dan DAP. Tidak terlihat pun adanya kerajasama mantab ketiga-tiganya sekali. Ini adalah kerana DAP dari awal lagi sudah menolak perjuangan Pas menubuhkan Negara Islam. DAP pula terus saja dengan hasratnya untuk ujudkan Malaysian Malaysia, suatu slogan yang kuat diperjuangkan PAP Singapura (waktu republik itu masih menyertai Malaysia) dalam pilihanraya 1964 yang sudah pun ditolak bulat-bulat majoriti rakyat negara ini.
Keadilan pula masih tidak dapat bersihkan dirinya dari persepsi ia ditubuhkan untuk perjuangkan kepentingan Anwar. Apa pun kelemahan parti-parti pembangkang itu untuk ujud sebagai parti alternatif kepada BN adalah juga menjadi suatu kekuatan kepada BN untuk terus mendapat sokongan walaupun dengan majoriti merosot.
Pas dan DAP tidak mungkin dapat bekerjasama dalam suatu kerajaan kerana objektif dan sasaran perjuangan yang tidak secocok diantara keduanya walaupun Pas dalam manifestonya kali ini tidak lagi menekankan pembentukan kerajaan Islam tetapi berjanji mengujudkan negra kebajikan pula. Demikian pula PKR tidak akan menjadi suatu parti politik berwibawa selagi ia tidak dapat lari dari perjuangan sempit untuk pertahankan penasihat dan pengasasnya, Anwar. Anwar sendiri dituduh tidak konsisten dan sering berdolak dalik oleh bekas penolong-penolong kananya dalam Keadilan dahulu.
Misalkata ketiga buah parti ini berjaya memenangi 112 kawasan, maka ia sudah boleh menubuhkan suatu kerajaan campuran dengan kelebihan dua kerusi di Parlimen yang mempunyai sejumlah 222 kerusi itu. Tetapi kiranya hal ini berlaku dan dilihat perjuangan dan matlamat ketiga parti itu masing-masing apakah mungkin mereka dapat ujudkan suatu kerajaan yang mantab lagi stabil?
Apakah tidak mungkin ujud satu senario yang tidak menyenangkan hingga boleh membawa kepada suasana politik tidak stabil hingga menyulitkan pemerintahan. Kiranya hal ini berlaku apakah Malaysia tidak akan mengikut jejak beberapa negara Afrika yang banyak dirundudng malang gara-gara tidak ujudnya kerajaan yang kuat yang berani melakukan sesuatu demi kebaikan negara walaupun keputusan itu tidak popular.
Apa pun suasa ini hanya ujud di Semenanjung saja. Kedua-dua Sabah (25 kerusi) dan Sarawak (31 kerusi) dikatakan mungkin bolos beberapa kerusi saja kepada pembangkang dan BN sudah boleh mengharapkan kerusi terbanyak dari kedua negeri itu.
Di Semenanjung (termasuk wilayah persekutuan Labuan) Umno meletakkan calun di sejumlah 106 kawasan, MCA 39. Gerakan 11, MIC 9 dan PPP satu. Umno menghadapi persaingan sengit dibeberapa kawasan dengan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di negeri-negeri lain seperti Johor (Umno bertanding di 16 kawasan), Perak (12 kawasan), Pahang (10), Pulau Pinang (5), Selangor (10), WP termasuk Putrajaya dan Labuan (6), Negeri Sembilan (5) dan Melaka (4) ia akan hadapi cabaran sengit di sesetengah kawasan saja. Itu pun kerana pemilihan calun yang tidak disenangi atau kerana calun yang digugurkan terdiri dari mereka yang berwibawa dengan perwatakan tidak dicemari.
Yang lebih mencemaskan adalah calun-calun parti rakan. Ini adalah kerana dikatakan ramai pengundi bukan Melayu kini lebih cenderong menyokong DAP atau pun Keadilan gara-gara tidak senang dengan berbagai perkembangan dewasa ini. Kiranya MCA dan Gerakan tidak berjaya pertahankan sebilangan besar kerusi mereka yang ada besar kemungkinan suara China terhakis dalam kerajaan.
Ada juga yang menyuarakan jangan pula terjadi keadaan dimana Gerakan dan MCA menang hanya di kawasan-kawasan majoriti Melayu seperti Alor Gajah (Melaka), Air Hitam, Simpang Renggam dan Tanjung Piai (Johor), Bandar Tun Razak (WP), Pandan, Puchong, Kelana Jaya dan Selayang (Selangor), Bayan Baru dan Nibong Tebal (Pinang), Tanjung Malim dan Lumut (Perak).
Kedudukan ini lebih ketara lagi bagi kesemua 9 calun MIC (Sungai Siput dan Tapah di Perak, Cameron Highlands di Pahang, Hulu Selangor, Subang, Kapar dan Kota Raja di Selangor, Teluk Kemang (NS) dan Segamat (Johor) dan satu untuk PPP di Taiping di mana pengundi Melayu boleh menentukan menang atau kalah mereka itu. Dikatakan hasil kempen Hindraf yang menuduh Melayu adakan usaha “ethnic clensing” terhadap kaum India ramai orang Melayu begitu kecewa sekali dengan orang India. Apakah pendirian ini akan membawa kepada kedudukan yang mencemaskan kepada MIC sama-masalah kita lihat pada Sabtu ini.
Rejal Arbee
6hb Mac 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Agak hairan mengapa pemimpin2 BN kritik dan bambu Anwar Ibrahim sedangkan Anwar tidak boleh bertanding ...
Post a Comment