Monday, March 3, 2008

Jerlun, Kubang Pasu tidak banyak beza – Mukhriz


KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Pepatah Melayu itu memang ada benarnya jika dilihat penglibatan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dalam bidang politik.
Jika dahulu, anak kelahiran Kedah berusia 43 tahun itu hanya menjadi pemerhati bapanya bertanding dalam pilihan raya, kini tiba giliran beliau pula mengharungi pengalaman tersebut.
Jejak politik yang ditinggalkan Tun Mahathir mula diikuti oleh Mukhriz secara aktif selepas beliau menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada 2004.
Bintangnya dalam bidang tersebut semakin menyinar apabila dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini di Parlimen Jerlun menggantikan Datuk Abd. Rahman Ariffin.
Beliau akan menentang calon Pas, Idris Ahmad dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi berkenaan.
“Sewaktu bapa saya menjadi Perdana Menteri, saya tidak boleh terlibat secara langsung dalam UMNO. Sebaliknya saya aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
‘‘Setiap kali pilihan raya umum, saya akan bergerak aktif di atas nama NGO lebih-lebih lagi di Kelantan kerana saya pernah menuntut di sana dulu.
‘’Ketika itu saya telah berminat dalam bidang politik,’’ katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Padang Sera di Jitra baru-baru ini.
Penyelaras Aman Malaysia itu mengakui sebagai anak bekas Perdana Menteri, beliau tidak dapat lari daripada mengekori bayang-bayang bapanya untuk turut menceburi bidang politik.
Namun tegas Mukhriz, beliau mahu membina karier politiknya menerusi usahanya sendiri dengan menjadikan gaya kepimpinan Tun Mahathir sebagai landasan yang perlu diikuti.
“Namun, apa yang saya lakukan ini agak berbeza kerana saya bergerak dari tempat paling bawah dalam politik UMNO. Ini memberi peluang kepada saya memahami masalah-masalah di peringkat akar umbi,’’ katanya.
Pencalonan Mukhriz di negeri kelahiran bapanya itu juga mempunyai nilai sentimental kepada penduduk Kedah yang begitu menyanjungi bekas Perdana Menteri sejak menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu pada tahun 1974.
Cuma pada pilihan raya umum kali ini, Mukhriz dicalonkan bertanding di kawasan yang dianggap sedikit ‘asing’ kepadanya memandangkan beliau lebih dikenali dan biasa di Kubang Pasu.
Bagaimanapun, kata Mukhriz, soal kawasan mana dia diletakkan tidak menjadi masalah. Malah berjanji akan memberi sepenuh perhatian dan khidmat terbaik kepada penduduk di Parlimen Jerlun jika dipilih menjadi wakil rakyat mereka.
“Sebenarnya Jerlun tak banyak berbeza dengan Kubang Pasu, kedua-dua kawasan terletak bersebelahan, jadi ramai yang saya jumpa di sini, pernah saya jumpa dulu,’’ katanya.
Mukhriz juga berjanji akan menggunakan setiap kesempatan untuk mendekati dan mengenali masyarakat di Jerlun sebelum memberi tumpuan kepada agenda-agenda lain termasuk pembangunan kawasan.
Jika terpilih menjadi ahli Parlimen di situ kelak, Mukhriz berjanji akan memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur, industri kecil desa dan pelancongan sebagai usaha meningkatkan sosioekonomi penduduk.

1 comment:

Da Real Deal said...

Kalau Jerlun tidak ada beza dengan Kubang Pasu, that means Mukhriz will be serving ungreatful peasants who will one day take RM200 for not voting him in as one of the G7 members.