Saturday, May 5, 2007

Dr. M dijangka beri keterangan kes Nik Sapeia Ahad ini


KOTA BHARU 4 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual memberi keterangan Ahad ini dalam perbicaraan kes seorang ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang dituduh menyebabkan kecederaan ke atasnya dan tiga yang lain.
Dr. Mahathir, yang merupakan salah seorang mangsa dalam kes tersebut merupakan saksi utama bagi pihak pendakwaan selepas dua lagi mangsa iaitu bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan seorang ahli perniagaan, Sobri Sahidan telah memberi keterangan pada perbicaraan sebelum ini.
Selain Dr. Mahathir, terdapat enam lagi saksi pendakwa yang dijadualkan memberi keterangan pada perbicaraan yang didengar di hadapan Majistret Azman Mustapha mulai Ahad ini sehingga 10 Mei ini.
Difahamkan ketujuh-tujuh saksi itu telah disapina untuk hadir ke mahkamah pada hari ini tetapi tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.
Seorang lagi mangsa yang masih belum memberi keterangan ialah Mohd. Nasir Muda, 45.
Ketua Unit Pendakwaan Negeri, Shahidan Abdul Aziz ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan bahawa Dr. Mahathir dijadualkan mengambil giliran memberi keterangan Ahad ini.
‘‘Sama ada beliau (Dr. Mahathir) akan hadir atau tidak saya tidak pasti,” katanya sambil enggan mengulas lanjut.
Pegawai Khas Dr. Mahathir, Sufi Yusof ketika dihubungi mengesahkan bekas Perdana Menteri itu akan hadir memberi keterangan Ahad ini.
‘‘Pada pukul 2.30 petang, Dr. Mahathir kemudian dijadualkan berucap pada Majlis Syarahan Perdana anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) bertajuk ‘Cabaran Kepimpinan Melayu di Era Globalisasi (memperkasa bangsa dan kedaulatan negara)'.
‘‘Majlis itu akan diadakan di sebuah hotel di Kota Bharu,” jelasnya
Perbicaraan ke atas Nik Sapeia, 53, yang dituduh menyebabkan kecederaan ke atas empat lelaki termasuk Dr. Mahathir secara menyembur bahan berbahaya yang didakwa dilakukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11 pagi, 28 Julai tahun lalu bermula 11 Mac lalu selama lima hari.
Ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran yang dibantu Muhammad Iskandar Ahmad dan Khairul Anuar Wahab manakala Nik Sapeia diwakili peguam Zainal Abidin Mustaffa dan Mohd. Ilias Mohd. Noor.
Memetik laporan akhbar, dalam kejadian 28 Julai lalu, Dr. Mahathir dan beberapa orang yang lain disembur dengan sejenis bahan pemedih mata ketika bekas Perdana Menteri itu hendak memulakan ucapannya dari sebuah kenderaan pacuan empat roda sebaik sahaja beliau tiba di lapangan terbang.
Dr. Mahathir yang jelas mengalami gangguan pernafasan dan pedih mata berikutan peristiwa itu kemudian dibawa terus ke hotel penginapannya serta diberi kawalan ketat oleh anggota polis.

tunku : hopefully Tun's visit to KB tomorrow will be smooth without such pepper spray incident occurs again.

No comments: