Saturday, May 5, 2007
Dua Mahathir bertemu lagi
Oleh: HABIBAH OMAR
PUTRAJAYA 4 Mei – Biarpun mengalami demam panas, namun Mahathir Mohamad, anak yatim piatu di Pulau Nias, Sumatera, tetap gembira apabila menerima kunjungan idolanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kanak-kanak itu yang pernah mendapat liputan akhbar negara ini kerana dipertemukan dengan Dr. Mahathir selepas tragedi tsunami kira-kira dua tahun lalu, meluangkan masa 40 minit bersama bekas Perdana Menteri itu dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Panti Asuhan Al-Wasliyah, Gunung Sitoli, Pulau Nias, semalam.
Difahamkan pada malam sebelumnya, Mahathir, 11, begitu beria-ria apabila mendengar khabar Tun Dr. Mahathir akan datang menemuinya di tempat berkenaan, namun pagi esoknya dia demam.
Pada majlis itu, Tun Dr. Mahathir turut menyampaikan sumbangan makanan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang semalam.
Mahathir diletakkan di bawah jagaan Panti Asuhan itu sejak bayi lagi dan namanya diberikan oleh ketua kampung di tanah kelahirannya sempena nama Tun Dr. Mahathir.
Ini disebabkan ibu bapanya meninggal dunia sebelum sempat mendaftarkan nama bayi mereka.
Bagaimanapun kejadian gempa bumi yang berlaku di Pulau Nias pada April 2005 lalu telah menemukan kedua-dua Mahathir tersebut melalui Utusan Malaysia yang mengatur pertemuan itu di Kuala Lumpur.
Terdahulu, pada sebelah pagi di Sumatera, Tun Dr. Mahathir menerima anugerah ijazah doktor kehormat atas sumbangannya terhadap pembangunan sumber manusia daripada Universitas Syiah Kuala, Banda Aceh.
Anugerah itu bagi menghargai jasa beliau sebagai Bapa Pemodenan Malaysia dan di atas konsep pembangunan ekonomi yang diperkenalkan.
Pada majlis yang diadakan itu, bekas Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan dan menyertai beberapa sesi dialog antara universiti itu dengan tokoh-tokoh pendidikan di Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment